Pilihanraya akan sampai tidak lama lagi. Bulan berapa dan hari apa pilihanraya akan dijalankan bergantung kepada laporan sulit yang diterima Abdullah Ahmad Badawi. Laporan ini biasanya akan disampaikan kepada Perdana Menteri oleh ketua bahagian Umno/Kemas, Cawangan Risikan Politik Bukit Aman dan Badan Risikan Tentera.
Kalau di pilihanraya lalu, si Perdana Menteri, apabila ditanya media; selalu menjawab beliau sedang menunggu wahyu/ilham. Laporan risikan inilah yang sebenarnya wahyu/ilham yang dinanti-nantikan dalam usaha untuk memeranjatkan pihak lawan dan memastikan kemenangan besar.
Dari tiga laporan ini, hanya laporan dari Bukit Aman yang dianggap laporan Cicero - sahih dan berkualiti. Yang paling hampeh belako, datangnya dari ketua Umno bahagian. Secara mikro jelas untuk difahami umum siapa sebenarnya yang mengendalikan politik negara ini. Tanpa sokongan jentera daulah ini, pasti Umno/Barisan Nasional (BN) telah tujuh kali bungkus dan lima puluh tiga kali ditalkinkan.
Sebenarnya, pilihanraya di Malaysia ini bukan demokratik, telus, jujur dan adil. Pilihanraya di Malaysia hanya satu permainan dalam usaha mengolah persetujuan untuk mendapatkan kuasa pemerintahan. Lima atau empat tahun sekali, pesta-pestaan ini dibuat. Rakyat dapat berhari raya, terutama penduduk miskin kota, orang kampung dan makcik di Felda. Macam-macam bendera/poster/kain rentang dinaikkan - lebih hebat daripada Hari Raya Puasa.
Semua rakyat sedar bahawa pilihanraya di negara kita ini tidak demokratik dan telus walaupun Rajoo dan Dollah telah tiga kali ulang memanjat Gunung Everest. Tetapi yang paling menyedihkan ialah puak parti pembangkang - mereka selalu menelan air liur sesudah undi dikira.
Tidak dapat tidak, kita - orang ramai - wajib bersimpati kepada mereka. Paling pelik dalam proses pilihanraya di negara tercinta ini ialah tidak ada sesiapa pun yang tahu bila pilihanraya ini akan dijalankan. Suruhanjaya Pilihanraya - yang cekap, amanah dan bersih - pun tak akan tahu tentang tarikh ini. Pelik tetapi benar. Mungkin Endon sendiri pun tidak akan mengetahui bila tarikhnya.